PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2008

GUNA JALAN ROSAK SEJAK 10 TAHUN

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

KEADAAN permukaan jalan masuk ke Kampung Pengkalan Besar yang rosak ditambak dengan batu kerikil.

TANGKAK: Lebih 200 penduduk Kampung Pengkalan Besar, Ledang, di sini, berdepan dengan bahaya kemalangan jalan raya, berikutan jalan masuk ke kampung itu mengalami kerosakan teruk sejak 10 tahun lalu.

Jalan sepanjang kira-kira tiga kilometer menghubungi bandar Tangkak ke Pekan Bukit Kangkar itu, sering dilalui pelbagai kenderaan termasuk lori berat yang membawa bahan binaan dan hasil komoditi kelapa sawit, getah dan buah-buahan.

Ketua Umno cawangan Kampung Pengkalan Besar, Ledang, A Majid Mahadi, berkata jalan itu juga dijadikan jalan pintas kenderaan pengangkutan awam, iaitu bas selain kenderaan pekerja dan bas sekolah.

Beliau berkata, keadaan permukaan jalan yang pecah dan berlubang turut membahayakan keselamatan pelajar yang menunggang motosikal serta berbasikal ke beberapa sekolah menengah di bandar Tangkak.

"Sebahagian permukaan jalan yang pecah pula ditambak dengan batu kerikil yang menjadikannya lebih berbahaya kepada pengguna terutama pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal.

"Selain permukaannya yang rosak, keadaan jalan itu juga sempit terutama laluan menghala ke kawasan pedalaman yang menimbulkan masalah kepada pemandu terutama ketika berselisih dengan kenderaan lain dari arah bertentangan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk berharap jalan itu dinaikkan taraf daripada kelas C sekarang kepada kelas A selaras dengan pelaksanaan projek pembangunan arus perdana yang pesat dilaksanakan di seluruh negara sekarang.

Peniaga kecil, Ibrahim Saadon, 45, berkata jalan Kampung Pengkalan Besar perlu dinaikkan taraf bagi memberi keselesaan kepada pengguna terutama peniaga yang sering berulang alik dari bandar Tangkak ke Pekan Bukit Kangkar.

Katanya, jalan itu juga turut menjadi laluan utama penduduk di beberapa kampung pedalaman iaitu Paya Kepong, Kundang Teluk Rimba, Ban Hap sama ada ke Pekan Bukit Kangkar- Sungai Mati ke bandar Tangkak dan sebaliknya.

Tinjauan ke kampung itu mendapati, banyak bahagian permukaan jalan yang rosak termasuk berdekatan dengan kediaman penduduk dan bangunan sekolah kebangsaan sekali gus menimbulkan kesulitan kepada penduduk sama ada keluar berbelanja ke bandar Tangkak atau mengangkut hasil pertanian mereka.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: