MUAR 7 Dis. - "Saya tidak ingat apa- apa, cuma saya terasa stereng bas itu berat sangat," kata pemandu bas ekspres Super Nice Grassland yang terlibat dalam nahas mengorbankan 10 penumpang di Kilometer 146.5 di antara Pagoh dan Tangkak dekat sini, awal pagi ini.
Menurut S. Segaran, 38, kemalangan kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku begitu pantas sehinggakan dia tidak dapat mengingati secara terperinci kejadian tersebut.
Dia yang cedera di kepala akibat kemalangan itu ditemui semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSFM).
Usaha mendapatkan keterangan lebih terperinci mengenai kemalangan itu daripada Segaran bagaimanapun terbantut apabila dihalang ibunya yang tidak mahu media mengganggu anaknya yang sedang menerima rawatan.
Dalam nahas itu, 10 orang maut manakala 18 lagi cedera setelah bas ekspres yang sedang dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak ke Singapura terbabas lalu terbalik sebelum melanggar pokok sehingga bumbungnya tercabut.
Sementara itu, seorang penumpang, Tean Chee Ngit, 39, bersyukur kerana kedua- dua anaknya yang turut berada dalam bas tersebut terselamat.
"Saya tidak dapat ingat apa-apa sebab semasa kejadian itu sedang tidur dan memang terasa sakit sangat," katanya yang mengalami patah tangan dan cedera di kepala.
Chee Ngit berkata, dia serta anak-anaknya sedang dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Singapura untuk berjumpa suaminya di sana.
Sementara itu, Ho Song Ren, 62, tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya, Khoo Bee Hwa, 48, dan anak perempuannya, Ho Pei Sin, 21, disahkan terbunuh dalam kemalangan tersebut.
Menurutnya, isteri dan anaknya itu pergi ke Sitiawan, Perak untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di sana kelmarin.
"Saya terkejut setelah menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga kami yang turut menaiki bas itu bagi memaklumkan bahawa isteri dan anak saya maut dalam kemalangan," katanya yang bergegas ke rumah mayat HPSFM sejurus mendapat berita buruk itu.
Song Ren yang tinggal di Skudai berkata, selain isteri dan anaknya, dua lagi ahli keluarganya turut pergi ke Perak, namun mereka hanya mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Seorang lagi penumpang bas, Goh Seh Kiat, 31, memberitahu, ketika kejadian, kebanyakan penumpang sedang tidur.
"Saya turut terkejut apabila tiba-tiba bas itu bergoyang kuat dan terbalik," katanya yang berasal dari Pangkor, Perak, dan dalam perjalanan ke Singapura untuk bekerja di sana.
Dia kemudian bingkas keluar daripada bas dan sempat menyelamatkan seorang budak berusia 12 tahun yang terperangkap di bawah bas yang terbalik itu.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan