PENGUNJUNG SETIA

10 Disember 2008

231 PENDUDUK TANGKAK DIPINDAH

MUAR 9 Dis. - Hujan lebat yang berterusan selama hampir enam jam sejak pagi semalam mengakibatkan seramai 231 penduduk dari empat buah kampung di Tangkak dekat sini terpaksa dipindahkan ke dua pusat penempatan sementara apabila rumah mereka dilanda banjir.

Mangsa yang terlibat adalah 92 penduduk membabitkan 21 keluarga di Kampung Seberang Gajah, Kampung Tanjung Labuh dan Kampung Sialang Dalam serta seramai 139 penduduk dari 36 keluarga di Kampung Seri Maamor.

Hujan lebat yang turun sejurus selepas umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha itu menyebabkan beberapa kawasan di empat kampung itu mula dinaiki air setinggi 0.5 meter mulai pukul 3 petang semalam.

Penduduk dari Kampung Seberang Gajah, Kampung Tanjung Labuh dan Kampung Sialang Dalam dipindahkan ke pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Sialang mulai pukul 6 petang semalam manakala penduduk Kampung Seri Maamor dipindahkan ke balai raya kampung itu sejak malam tadi.

Penghulu Mukim Tangkak, Abdul Majid Mistam, 54, ketika ditemui di pusat penempatan sementara SK Sialang berkata, sehingga pukul 12 tengah hari ini seramai 92 penduduk membabitkan 21 keluarga dari tiga kampung terbabit telah dipindahkan sejak petang semalam.

"Paras air naik mendadak sejak petang semalam menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan.

"Meskipun paras air semakin surut akibat cuaca panas hari ini, mereka masih ditempatkan di pusat pemindahan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Ketua Kampung Seri Maamor, Samingan Ahmad, 60, pula berkata, proses menyelamatkan mangsa banjir yang masih berada di rumah masing-masing dilakukan anggota Bomba dan Penyelamat Tangkak serta dibantu penduduk kampung.

"Penduduk mula dipindahkan mulai malam tadi apabila air dari Sungai Chohong dan Tanjung Labuh memenuhi parit di kampung ini," katanya yang turut menjadi mangsa banjir dan bakal mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya hujung minggu ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di empat kampung terbabit mendapati paras air masih memenuhi parit-parit berdekatan dan rumah-rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah.

Beberapa laluan di kampung tersebut turut dinaiki air pada paras 0.2 meter akibat limpahan air dari parit berdekatan menyebabkan ia hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Operasi bantuan kepada mangsa banjir di pusat penempatan pula giat dilakukan oleh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Ledang bersama pihak polis, bomba serta kakitangan Hospital Tangkak.

Kejadian itu merupakan kali kedua dalam tempoh kurang sebulan banjir melanda Kampung Seri Maamor. Pada 19 November lalu, seramai 269 penduduk dari kampung berkenaan dan Kampung Seri Maamor Darat terpaksa dipindahkan akibat bencana yang sama.

Sementara itu, seorang mangsa di Kampung Tanjung Labuh, Md. Zul Alias, 45, berkata, paras air mula naik di rumah mereka sejak pukul 3 petang semalam menyebabkan dia dan isteri serta empat orang anak berusia antara enam hingga 16 tahun terpaksa berpindah ke SK Sialang.

"Saya tidak menyangka kami sekeluarga terpaksa menghadapi banjir ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, namun bersyukur kerana semua ahli keluarga saya selamat," katanya yang bekerja sendiri.

Fadilon Ahmad, 29, operator sebuah kilang di Tangkak pula berkata, kali terakhir rumahnya dilanda banjir adalah kira-kira dua tahun lalu.

Dia yang tinggal di Kampung Seberang Gajah bersama suami, Asmi Yusof, 35, serta tiga orang anak mereka berpindah ke pusat penempatan itu petang semalam.

Basar Ali, 62, dari Kampung Seri Maamor pula berkata, dia dan isterinya, Suramseh Maryadi, 47, sempat memindahkan barang penting ke bahagian atas rumahnya petang semalam apabila air naik sehingga satu meter di rumahnya.

"Saya bimbang apabila dimaklumkan bahawa banjir di Kampung Seri Maamor masih belum surut walaupun cuaca panas hari ini kerana limpahan air dari kampung bersebelahan mengalir ke kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Huzaimah Adman, 34, berkata, dia turut menjadi mangsa banjir yang melanda kampung itu pada 19 November lalu dan ini merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan rumahnya dilanda banjir.

Ibu kepada empat orang anak itu sempat menyelamatkan barangan penting kerana paras air meningkat secara perlahan sejak petang semalam sebelum mereka sekeluarga dipindahkan malam tadi.

Turut dipindahkan ialah ibu dan saudaranya yang tinggal berdekatan termasuk adik lelakinya, Mohammad Noor Fahmi, 20, yang menghidap sindrom Down.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 10 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: