PENGUNJUNG SETIA

02 Disember 2008

TIGA BERANAK MAUT BERTEMBUNG TRELER

MUAR 1 Dis. - Seorang ibu dan dua anak perempuannya maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama suami dan seorang lagi anak mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 143 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini malam tadi.

Dalam kemalangan pukul 8.30 malam itu, mangsa yang terbunuh ialah Chai Yoon Foong, 35, serta dua anak perempuannya, Chan Ai Teng, 6, dan Chan Ying Ying, 10.

Suami mangsa, Chan Chin Teng, 41, dan seorang lagi anak perempuan pasangan itu, Chan Ai Wen, 7, terselamat serta hanya mengalami cedera ringan.

Ketika kejadian, keluarga itu dalam perjalanan pulang dari rumah ibu Yoon Foong di Sedenak, Johor Bahru ke rumah mereka di Taman Desa Melati di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan.

MPV jenis Toyota Fortuner yang dipandu suami mangsa itu dikatakan gagal dikawal ketika cuba memotong lori treler membawa muatan pasir yang berada di lorong perlahan lalu terbabas dan bergesel dengan kenderaan berat tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Lee Choon Guan berkata, kenderaan terbabit dipercayai bergesel dan melekat pada bahagian tengah kanan lori treler itu sebelum diseret sejauh 100 meter.

"Ibu kepada tiga orang anak perempuan itu yang duduk di tempat duduk sebelah pemandu dan dua daripada tiga anaknya yang duduk di kerusi belakang meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk masing-masing.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat ketiga-tiga mangsa.

"Suami serta seorang lagi anak perempuan pasangan itu cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tangkak bagi menerima rawatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Choon Guan, pemandu lori treler terbabit dan kelindannya tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.

Kemalangan terbabit berlaku hanya kira-kira dua kilometer selepas susur masuk Plaza Tol Pagoh dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, pemandu lori treler terbabit, R. Gunasegaran, 26, ketika ditemui di tempat kemalangan berkata, sewaktu kejadian dia sedang memandu di lorong perlahan kerana kenderaannya yang membawa muatan pasir itu terpaksa mendaki bukit selepas susur masuk tol.

"Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dentuman kuat dari arah belakang kenderaan saya dan melalui cermin sisi, saya ternampak sebuah kereta melekat di bahagian tengah lori treler yang saya sedang pandu.

"Pada masa yang sama, saya segera memberhentikan kenderaan kira-kira 100 meter dan sebaik keluar dari kenderaan, saya nampak pemandu kereta itu meminta bantuan mengeluarkan ahli keluarganya yang tersepit," katanya yang dalam perjalanan dari Kluang menghala ke Ipoh, Perak.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: