JOHOR BAHRU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengadakan Pasar Tani Khas menjelang Hari Raya Aidiladha di 24 pasar tani seluruh negeri pada Sabtu dan Ahad depan.
Pengarah Fama negeri, A Rahaman Suleiman, berkata pasar tani khas Sabtu itu membabitkan pasar tani Larkin, Pasir Gudang dan Bandar Selesa Jaya di Johor Bahru, Pengerang dan Bandar Penawar (Kota Tinggi); Tanjung Agas (Muar); Endau dan Tenggaroh (Mersing) serta Pekan Segamat (Segamat).
Pada Ahad pula, katanya, ia membabitkan pasar tani Bandar Baru Uda, Taman Sri Pulai, Taman Universiti dan Taman Nusa Perintis, Gelang Patah (Johor Bahru); Taman Indahpura (Kulai Jaya), Jalan Muhibbah (Rengit) dan pasar tani Simpang Renggam (Simpang Renggam).
Selain itu, pasar tani Stadium Pontian (Pontian); Jalan Sungai Kemang dan Felda Sening (Kota Tinggi); Jalan Petri Stadium Muar, Bandar Tangkak dan Bukit Gambir (Muar); Taman Waja (Segamat) dan pasar tani Bandar Mersing (Mersing).
"Operasi pasar tani khas menjelang Aidiladha ini diharap dapat memberi peluang kepada orang ramai membeli keperluan bahan mentah dan siap proses bagi perayaan ini.
“Kita juga menjamin, bekalan adalah mencukupi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peserta pasar tani yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta memasarkan produk pertanian tidak berkualiti," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pelekat Kenderaan Pemasar Tani Peringkat Negeri Johor di tapak Pasar Tani Mega, Larkin, di sini semalam. Majlis disempurnakan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Naim Mohd Nasir.
Sementara itu, A Rahaman berkata, ketika ini, Fama negeri mengendalikan 44 pasar tani di seluruh Johor membabitkan 1,667 peserta.
Beliau berkata, dua lagi pasar tani baru akan dibuka, bulan depan, iaitu di Taman Putra, Kulai Jaya (2 Disember) membabitkan 50 peserta, diikuti di Taman Manis Kulai Jaya (6 Disember) dengan 30 peserta.
SUMBER: BERITA HARIAN, 01 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan