PENGUNJUNG SETIA

12 Disember 2008

PEMANDU KEDUA BAS TERBABIT NAHAS DITAHAN

MUAR: Pemandu kedua Bas Super Nice Grassland yang terbabas dan terbalik sehingga meragut 10 nyawa dalam kemalangan di Kilometer 146.5 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, kira-kira jam 2 pagi, Ahad lalu, ditahan, di sini semalam.

Lelaki berusia 26 tahun yang dirawat selama lima hari di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dibawa ke Balai Polis Trafik Muar untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dia dibawa keluar Pegawai Penyiasat Balai Polis Trafik Muar, Inspektor Mohammad Hairul Nizam Rambli, diiringi empat anggota kira-kira jam 12.50 tengah hari. Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohammad Nasir Ramli, berkata lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kes disiasat kerana memandu kenderaan di jalan raya dengan melulu dan tidak mengambil perhatian sehingga menyebabkan kematian 10 nyawa. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara lima tahun hingga 10 tahun atau denda RM5,000 hingga RM20,000," katanya ketika dihubungi, semalam.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: