PENGUNJUNG SETIA

13 Disember 2008

PEMANDU BAS SUPER NICE DIDAKWA MEMANDU MELULU

MUAR 12 Dis. - Seorang pemandu bas ekspres Super Nice Grassland yang terbabit dalam nahas sehingga mengorbankan 10 orang pada 7 Disember lalu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak dekat sini atas tuduhan memandu secara melulu dan merbahaya.

Tertuduh, S. Segaran, 26, yang berasal dari Ayer Tawar, Perak bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Yasser Mohd. Nasri.

Dia yang baru keluar dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) semalam, selepas menerima rawatan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), memandu sebuah bas bernombor pendaftaran PEE 9898 mengakibatkan kematian penumpang-penumpang.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh di Kilometer 146.8 Lebuh Raya Utara-Selatan di daerah Tangkak kira-kira pukul 2 pagi pada 7 Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, Segaran didakwa mengakibatkan kematian 10 penumpang bas terbabit iaitu Leong Kok Wai, 30; Choo Foo Seong, 46; Ng Ah Hwa, 40; Hoo Lee Lee, 42; Foo Pei Sin, 21, Chan Jia Yi, (umur tidak dinyatakan); Khor Mooi Hua, 49; Poh Mooi Lang, 57; Ng Siew Wen, (umur tidak dinyatakan) dan Ho Chung Shing (umur tidak dinyatakan).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 serta lesen digantung.

Memetik laporan akhbar, dalam kejadian pada awal pagi Ahad lalu, bas ekspres terbabit terbabas lalu terbalik sehingga meragut nyawa 10 penumpang serta mencederakan 18 yang lain termasuk Segaran dan pemandu kedua bas itu.

Ketika kejadian, bas terbabit yang dipandu oleh tertuduh sedang dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak menuju ke Singapura sebelum terbabit dalam nahas ngeri itu.

Tertuduh diwakili peguam S. Vijayaretnam, manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Cif Inspektor K. Subramaniay.

Subramaniay memohon kepada mahkamah satu tarikh sebutan lain agar pihaknya dapat menyiapkan siasatan lengkap dan ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh sementara menunggu tarikh baru.

Bagaimanapun, Vijayaretnam memohon agar anak guamnya itu dikenakan ikat jamin antara RM3,000 dan RM5,000 memandangkan lesen memandu tertuduh juga telah digantung sehingga kes tersebut selesai.

Beliau berkata, anak guamnya itu turut cedera akibat kemalangan tersebut dengan 22 jahitan di kepala dan dirawat di HPSF selama lima hari.

Selain itu, katanya, tertuduh juga hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM1,000 sebagai pemandu bas dan terpaksa menanggung ibunya yang sedang sakit.

Setelah menimbang permohonan kedua-dua pihak, Mohamad Yaser menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes itu dan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga mengarahkan supaya satu surat dikeluarkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan agar tertuduh memohon lesen memandu yang baru, setelah lesen sedia adanya hilang di tempat kemalangan tersebut.

Tertuduh yang dilihat diiringi dua ahli keluarga kemudian dibebaskan petang ini selepas membayar wang ikat jamin tersebut sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: