PENGUNJUNG SETIA

08 Disember 2008

RINTIHAN ISTERI DALAM TELEFON SEBELUM MATI

MUAR: “Isteri masih bersuara ketika tersepit, malah sudah meminta pertolongan orang awam menghubungi saya untuk memaklumkan kemalangan itu,” kata Goh Soon Yan, 61, semalam.

Bagaimanapun, sejurus sampai di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), dia terkejut apabila dimaklumkan isteri dan anak perempuannya terbunuh dalam kemalangan itu.

Isterinya, Khor Bee Hua, 49 dan anak perempuannya Goh Teh Seng, 20, antara 10 mangsa yang terbunuh dalam kemalangan apabila bas ekspres dinaiki terbalik selepas terbabas sejauh 200 meter sebelum terlanggar sebatang pokok di Kilometer 146.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala Johor Bahru, awal pagi, semalam.

Bekas peniaga itu berkata, dia menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada seorang anak saudara selepas orang awam menghubunginya untuk memaklumkan isteri dan dan anak perempuannya terbabit kemalangan jalan raya.

“Isteri saya masih boleh bersuara meminta pertolongan orang awam untuk membantunya mengesan ahli keluarga, tetapi kelewatan menyelamatkannya menyebabkan dia dan anak perempuan saya maut.

“Saya kecewa kerana menyangka apabila sampai di hospital dia dan anak perempuan yang masih menuntut dalam bidang pengajian pentadbiran perniagaan di Universiti Singapura masih ada, tetapi sudah meninggalkan saya buat selamanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HPSF, semalam.

Goh berkata, kedua-duanya dalam perjalanan dari Sitiawan, Perak menuju Singapura.

SUMBER: HARIAN METRO, 8 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: