PENGUNJUNG SETIA

08 Disember 2008

TUNGGU DATUK KELUAR

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Seorang budak perempuan yang cedera di kening enggan berganjak walaupun dipujuk pasukan penyelamat kerana mahu menunggu datuknya yang tersepit sebelum lelaki itu ditemui terbunuh bersama sembilan lagi mangsa dalam nahas bas ekspres di Kilometer 146.6 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Johor Bahru di sini, awal pagi semalam.

Poh Yuen Yee, 8, antara 13 mangsa paling awal diselamatkan dan dibawa keluar dari bas itu sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, apabila petugas ambulans hendak membawa budak itu ke hospital, dia enggan mengikut, sebaliknya tetap mahu menunggu datuknya yang masih tersepit dalam bas itu tanpa menyedarinya lelaki itu sudah terbunuh.

Yuen Yee yang mengikut datuknya, Poh Meng Lai, 57, dalam perjalanan dari Ipoh ke Singapura dan hanya bersetuju mengikut pasukan perubatan selepas saksi itu membantu menghubungi bapanya di negara jiran itu.

“Selepas dipujuk dan berbual-bual dengan bapanya melalui telefon bimbit, baru budak itu bersetuju menerima rawatan dan dibawa menaiki ambulans ke HPSF bagi mendapatkan rawatan.

“Beberapa minit selepas dia dibawa ambulans ke HPSF, datuknya yang tersepit di tempat duduknya ditemui terbunuh di tempat kejadian,” katanya.

Dalam nahas kira-kira jam 2 pagi itu, bas ekspres membawa 26 penumpang dan dua pemandu dari Ipoh ke ke Johor Bahru, dipercayai gagal dikawal dan terbabas sejauh 200 meter sebelum melanggar sebatang pokok dan terbalik dalam longkang.

Kemalangan itu menyebabkan tujuh mangsa maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HPSF.

Seramai 15 penumpang masih dirawat di hospital itu termasuk tiga parah, manakala tiga lagi yang cedera ringan dimasukkan ke Hospital Tangkak (HT) dan HPSF dan menerima rawatan pesakit luar.

Selang sejam kemudian, beberapa ahli keluarga Poh yang datang dari Singapura termasuk isterinya yang berusia 50-an menangis berikutan pemergian suaminya.

Wanita itu meraung mahu mengikut suaminya dan menyalahkan pemandu bas ekspres kerana tidak berhati-hati.

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Poh Boon Hi, 40-an, berkata bapa dan anak perempuannya dalam perjalanan ke Singapura untuk melawat adiknya, Poh Boon Tin yang baru mendapat bayi sebulan lalu.

Katanya, kira-kira jam 2 pagi, anak perempuannya menghubunginya menggunakan telefon bimbit orang awam untuk memaklumkan dia dan datuknya terbabit kemalangan jalan raya.

“Jam 7 malam, mereka bertolak menaiki bas, tetapi tujuh jam kemudian saya dapat tahu ayah saya maut dalam kemalangan itu.

“Anak saya terselamat dan hanya cedera ringan,” katanya.

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan dua kren bagi mengangkat bas ekspres terbabit supaya dapat mengeluarkan enam mangsa yang tersepit di tempat duduk termasuk di bawah kenderaan dan dalam longkang.

Sementara itu, seorang wanita yang maut dalam nahas itu ditemui dalam keadaan berpelukan dengan seorang anak perempuannya dan dia dipercayai membiarkan badannya dihempap kenderaan berkenaan kerana mahu menyelamatkan anaknya.

Anak wanita itu ditemui selamat, tetapi tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital manakala wanita itu terbunuh di tempat kejadian.

SUMBER: HARIAN METRO, 8 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: