PENGUNJUNG SETIA

20 Disember 2008

WANITA, KEKASIH DIDAKWA BERSUBAHAT BUNUH SUAMI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

HALIF dan Norhayati dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tangkak, semalam.

Kes pembunuhan Mat Top disebut semula 26 Februari

TANGKAK: Seorang wanita bersama teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, terhadap tuduhan membunuh suaminya dalam kejadian di Ladang Kelapa Sawit Pengkalan Besar, minggu lalu.

Tertuduh, Norhayati Wahab, 24, berasal dari Asahan, Melaka, bersama teman lelakinya, Halif Mohamad, 21, dari Jasin, Melaka, seorang pekerja kontrak, dituduh membunuh dengan menyebabkan kematian Mohd Rapi Pungot, 32, yang juga suami Norhayati di ladang kelapa sawit itu, kira-kira jam 5.20 petang 8 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh wanita kelihatan tenang dan hanya berdiam diri selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, manakala teman lelakinya hanya menundukkan kepala.

Akhbar sebelum ini melaporkan mayat Mohd Rapi yang lebih dikenali sebagai Mat Top, seorang penjual burger ditemui dengan kesan kecederaan pada dagu, di ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan utama Kampung Pengkalan Besar.

Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh dalam tempoh kurang 20 jam sebelum ditutup dengan rumput dan pelepah kelapa sawit ditemui seorang pekerja ladang warga Indonesia kira-kira jam 2 petang, 9 Disember lalu.

Dua hari selepas penemuan mayat itu, isteri mangsa yang mempunyai dua anak, ditahan polis di rumahnya di Asahan susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Cincin, Jasin.

Majistret Mohamad Yasser Mohd menetapkan 26 Februari depan sebutan semula kes.

SUMBER: BERITA HARIAN, 20 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: