PENGUNJUNG SETIA

16 Disember 2008

MDT PERLU GANTI TAPAK GERAI SESUAI

JAMILAH menunjukkan notis MDT yang mengarahkannya memindahkan peralatan perniagaan.

TANGKAK: Majlis Daerah Tangkak (MDT) diminta menyediakan gerai kekal di tanah rizab di depan kawasan perumahan Taman Serom Jaya, Ledang, bagi membolehkan peniaga kecil-kecilan menjalankan perniagaan secara lebih teratur.

Ketua Umno Cawangan Rumah Awam Serom 4, dalam bahagian Ledang, Murad Jaafar, berkata pembinaan gerai tersusun dan bersistematik bukan saja mengindahkan pemandangan persekitaran, tetapi turut membantu meningkatkan ekonomi peniaga kecil terutama ibu tunggal, yang sudah lama berniaga di kawasan berkenaan.

“Tindakan MDT mengusir peniaga di situ tanpa menawarkan tapak sesuai menyebabkan peniaga terbabit hilang mata pencarian untuk menampung keluarga,” katanya.

Beliau mengulas tindakan MDT mengusir peniaga kecil-kecilan di kawasan berkenaan menyebabkan ramai peniaga terbabit hilang mata pencarian.

Seorang peniaga yang juga ibu tunggal, Jamilah Abu Bakar, 48, berkata tindakan MDT itu menjejaskan satu-satunya sumber pendapatan beliau untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah.

Jamilah yang menjalankan perniagaan minuman ringan dan makanan berkata, beliau menjalankan perniagaan melalui lesen bergerak (Pedati) mendirikan gerai sementara di kawasan lapang dalam kawasan perumahan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Beliau sudah beberapa kali menerima notis daripada MDT dan yang terakhir bertarikh 26 November lalu, mengarahkan beliau memindahkan peralatan perniagaan dari kawasan itu.

Beliau berkata, notis pertama dikeluarkan pada 1 April lalu, dengan alasan melanggar peraturan, kerana meninggalkan perkakas perniagaan di bahu jalan tanpa kebenaran pihak majlis dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 6(i)(d) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDMU) 1981.

“Saya tidak menjalankan perniagaan di bahu jalan sebaliknya berniaga dalam kawasan lapang di seberang tali air di depan bangunan rumah kedai dalam kawasan perumahan Taman Serom Jaya.

“Gerai yang didirikan pula tidak mengganggu lalu lintas kerana kedudukannya jauh dari jalan raya, manakala peralatan perniagaan pula di dalam gerai dan bukan bersepah dekat bahu jalan,” katanya ketika ditemui di gerainya, di sini, kelmarin.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: