PENGUNJUNG SETIA

05 Disember 2008

JETI PELAMPUNG LEBIH SELAMAT UNTUK PENDUDUK

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

PEMBINAAN jeti terapung yang siap sebulan lalu kini memberi kemudahan kepada penduduk yang mencari pendapatan dengan menyewa bot kepada pemancing luar di Kampung Pengkalan Kota, Kundang Hulu.

TANGKAK: Jeti konkrit di Kampung Pengkalan Kota, dekat sini, yang runtuh Mei lalu, selepas kira-kira tujuh bulan digunakan, akhirnya diganti dengan jeti pelampung dan pembinaannya siap sepenuhnya awal bulan lalu.

Pembinaan jeti dengan kos kira-kira RM100,000 itu dimulakan sejak Ogos lalu, di tebing sungai yang terletak kira-kira 50 meter daripada lokasi asal jeti yang runtuh, menggunakan 28 bahan pelampung dan empat tiang bagi membolehkannya terapung mengikut paras pasang surut Sungai Muar.

Tinjauan Berita Harian mendapati kedudukan lokasi baru jeti itu agak jauh daripada selekoh sungai yang dikatakan menjadi punca berlaku hakisan akibat arus yang kuat sehingga jeti asal runtuh.

Difahamkan, pembinaan jeti di lokasi baru itu dijalankan berikutan beberapa kajian menunjukkan lokasi lama tidak sesuai, selain keadaan air yang berlumpur menyebabkan keadaan tidak stabil.

Runtuhan pada 9 Mei lalu membabitkan jeti konkrit baru yang dibina dengan kos kira-kira RM160,000 bagi menggantikan jeti lama yang runtuh pada Februari tahun lalu akibat hakisan selepas banjir teruk pada akhir 2006.

Jeti yang runtuh pada Februari tahun lalu itu juga dikatakan baru digunakan, iaitu tidak sampai lima bulan dengan pembinaannya membabitkan kos RM55,000.

Pembinaan jeti pelampung itu disambut baik oleh penduduk kawasan itu berikutan ia memberi kemudahan kepada nelayan, selain menjadi tumpuan pemancing udang galah terutama pada cuti hujung minggu.

Ketua Kampung Durian Condong, Anuar Hamzah, berkata, penduduk kampung berterima kasih kepada kerajaan terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membina semula jeti itu bagi kemudahan orang ramai.

Katanya, pembinaan jeti pelampung itu lebih sesuai berbanding dengan jeti konkrit yang dibina sebelum ini, berikutan kawasan itu sering dilanda banjir sehingga boleh menyebabkan berlaku hakisan yang memberi kesan kepada keadaan jeti.

"Jeti itu memberi kemudahan kepada penduduk tambahan lagi Sungai Muar di kampung itu sering menjadi tumpuan pemancing udang galah yang datang dari luar daerah termasuk Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, kerja membina jeti baru itu dimulakan sejak 10 Ogos lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Selain itu katanya, sebuah keluarga yang tinggal paling hampir dengan lokasi jeti lama yang runtuh juga sudah dipindahkan bagi tujuan keselamatan berikutan keadaan tebing yang tidak stabil.

Seorang penduduk, Junus Kassim, 57, yang tinggal beberapa meter dari jeti itu, berharap jeti baru itu dapat bertahan lama dan kekal, berbanding dua jeti yang dibina sebelum ini.

Beliau juga gembira kerana kerajaan mengambil kira pandangan penduduk dan menjalankan kajian terlebih dulu bagi mengenal pasti kesesuaian lokasi pembinaan jeti bagi memastikan ia kukuh.

"Saya diberitahu bahawa kajian di lokasi lama mendapati kawasan tanah keras hanya terdapat kira-kira 85 meter daripada tebing sungai dan keadaan ini menyebabkan pembinaan jeti di kawasan itu tidak stabil," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: