PENGUNJUNG SETIA

10 Disember 2008

SEKELUARGA PATAH BALIK

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

CEMAS...Norhayati dan Mohd Rani mengharungi air pulang ke rumah.

TANGKAK: Sepasang suami isteri terpaksa memendekkan cuti Aidiladha apabila dikejutkan dengan berita kawasan kampung mereka dinaiki air sedalam antara 0.5 hingga semeter sejak pagi, semalam.

Norhayati Bujang, 39, berkata dia dan keluarga yang bercuti di rumah keluarga mentua di Port Dickson, Negeri Sembilan, terpaksa bergegas pulang apabila ibunya di Lorong Sentosa, Kampung Sri Makmor, di sini, memaklumkan air mulai naik sejak jam 7 pagi.

Menurutnya, sejurus mendapat maklumat rumah dinaiki air, dia sekeluarga bergegas balik dan sampai di rumah kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, walaupun rumahnya dibina di kawasan lebih tinggi di kawasan berkenaan tetapi pengalaman ketika banjir besar 2006 rumahnya turut dinaiki air menyebabkan dia sekeluarga berpatah balik memindahkan barangan ke tempat lebih selamat.

Norhayati berkata, pengalaman banjir itu juga menyebabkan dua bot disimpan di rumah bagi memudahkan berpindah ke lokasi selamat terutama jika air naik mendadak pada waktu tengah malam.

“Kebetulan bot yang dibeli untuk bapa mentua tidak dipakai menyebabkan keluarga suami suruh simpan di rumah bagi memudahkan berpindah ke tempat yang selamat jika berlaku sekali lagi banjir besar seperti yang dialami dua tahun lalu,” katanya.

Dia dan suaminya, Mohd Rani Hussein ditemui ketika berada berhampiran botnya, berikutan air naik separas pinggang menyebabkan laluan ke rumahnya terputus hubungan dan terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik mengangkut barangan ke pusat pemindahan sementara yang disediakan di Balai Raya Kampung Sri Makmor, di sini.

Mereka antara 77 keluarga membabitkan 319 penduduk di empat kampung iaitu Kampung Sialan Dalam, Tanjung Labuh, Seberang Gajah dan Kampung Sri Makmor yang terpaksa dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata dua pusat pemindahan dibuka di Sekolah Rendah Kebangsaan Sialang dan Balai Raya Kampung Sri Mamoor.

Katanya, pusat pemindahan pertama dibuka di sekolah berkenaan kira-kira jam 7 malam kelmarin yang pada mulanya hanya menempatkan seramai sembilan keluarga tetapi jumlah meningkat kepada 21 keluarga membabitkan 91 penduduk sehingga jam 2 petang semalam.

Menurutnya, pusat pemindahan kedua pula dibuka kira-kira 7.30 pagi dan sehingga jam 6 petang semalam seramai 56 keluarga membabitkan 224 penduduk sudah dipindahkan ke balai raya berkenaan.

“Air lambat surut walaupun tidak hujan di kawasan itu berikutan aliran air di Sungai Kesang dan Sungai Tangkak tidak lancar.

“Sehubungan itu, saya meminta Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) membuat semakan semula saiz dan kedalaman Sungai Kesang walaupun projek tebatan banjir sedang giat dijalankan.

“Projek tebatan banjir di Sungai Tangkak yang bernilai RM24 juta sepatutnya sudah bermula tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan banjir di kawasan berkenaan,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 10 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: