Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my
MUAR: Bas Super Nice Grassland yang terbabas dan terbalik di Kilometer (KM) 146.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Tangkak, di sini, awal pagi kelmarin, tidak melalui pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Ipoh sebelum meneruskan perjalanan ke selatan.
Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Salim Parlan, berkata ketika mengambil penumpang di Ipoh, bas dari Pantai Remis, Perak itu tidak memasuki kawasan terminal menyebabkan pemeriksaan tidak dapat dijalankan.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan awal mendapati, bas berkenaan berkeadaan baik dan baru menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bulan lalu.
"Pemeriksaan lanjut sedang dijalankan meliputi semua aspek terutamanya terhadap bas ekspres berkenaan," katanya selepas melawat mangsa yang cedera dan masih menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi kelmarin, 10 maut dan 18 cedera termasuk kedua-dua pemandu apabila bas dari Pantai Remis ke Singapura yang mereka naiki terbabas dan terbalik ketika melalui kawasan berbukit di KM146.5 arah selatan antara Tangkak dan Pagoh.
Salim berkata, pemeriksaan awal juga mendapati bas yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor itu memiliki 17 saman tertunggak, bagaimanapun pihaknya masih meneliti jenis kesalahan dilakukan.
"Kedua-dua pemandunya pula tidak memiliki sebarang saman tertunggak, malah lesen mereka juga masih sah, begitu juga dengan lesen kenderaan motor (LKM) bas terbabit yang masih sah," katanya.
Pengarah Penguat Kuasa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Sulaiman Sairan, berkata pihaknya sedang menunggu laporan daripada pelbagai agensi yang terbabit dalam siasatan kes itu sebelum meneliti tindakan terhadap syarikat bas terbabit.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) berkata, Datuk Suret Singh, berkata sejak pihaknya mengambil pelbagai langkah keselamatan dalam tempoh 10 bulan lalu, kadar kematian mangsa kemalangan bas ekspres menurun kira-kira 51 peratus.
“Antara langkah diambil pihaknya ialah memastikan reka bentuk baru bas mengikut piawaian antarabangsa dan ia ternyata berkesan mengurangkan kemalangan bas ekspres,” katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 9 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan