PENGUNJUNG SETIA

07 Disember 2008

DUA LELAKI PECAHKAN TIGA PETI SEJUK


KEADAAN sebuah kedai menjual kek yang berselerakan apabila dua lelaki bertindak memecahkan cermin kaca peti sejuk di kedai itu di Jalan Payamas, Tangkak, semalam.

MUAR 6 Dis. – Pemilik sebuah kedai bakeri di Jalan Payamas Tangkak dekat sini terkejut apabila dua lelaki tiba-tiba memecahkan cermin tiga peti sejuk menyimpan kek di kedai itu malam semalam.

Dalam kejadian pukul 9.25 malam itu, pemilik kedai, seorang wanita berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dua lelaki berusia lingkungan 20-an tiba-tiba masuk ke kedainya.

Menurutnya, dia menyangkakan kedua-dua suspek itu mahu membeli kek tetapi tiba-tiba menggunakan tukul untuk memecahkan tiga pintu kaca peti sejuk tempat menyimpan kek menyebabkan barangan yang dijual bertaburan ke lantai sebelum melarikan diri.

Katanya, kedua-dua lelaki itu mengambil masa tidak sampai satu minit melakukan perbuatan tersebut dan melarikan diri tanpa mengambil wang tunai atau barangan berharga dari kedai tersebut.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Tangkak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pemilik kedai tersebut dan setakat kini, tiada tangkapan dibuat.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 7 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: