PENGUNJUNG SETIA

08 Disember 2008

JOHOR LAHIRKAN PERSEMBAHAN BUDAYA PELBAGAI KAUM

MUAR 7 Dis. - Johor akan menjadi sebuah negeri yang kaya dengan persembahan budaya berasaskan campuran pelbagai kaum untuk dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, keunikan tersebut mendorong Johor berusaha menjadi sebuah negeri yang mampu melahirkan pelbagai bentuk gabungan budaya kaum yang unik di negara ini.

Beliau berharap, Johor akan menjadi negeri yang melahirkan budaya yang terbaik untuk sama-sama dinikmati oleh rakyat negara ini berasaskan kepada perpaduan seluruh masyarakat Malaysia.

"Saya yakin Johor mampu menjadi negeri yang mengetengahkan persembahan budaya daripada pasukan semua masyarakat yang ada di negara ini dengan mutu yang terbaik.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap lebih banyak pertubuhan dan kelab persembahan budaya daripada masyarakat berbilang kaum ditubuhkan di negeri ini bagi membentuk jati diri rakyat Malaysia yang bersatu-padu," katanya.

Beliau berucap merasmikan Malam Irama 2008 anjuran Kelab Bell Belia Tamil Cawangan Tangkak di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak, dekat sini malam kelmarin.

Abdul Ghani berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai bentuk kebudayaan hasil daripada penduduk berbilang kaum yang terdapat di negara ini dan kebudayaan setiap kaum itu perlu diketengahkan.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga kelancaran pentadbiran kerajaan negeri ini, saya memberi jaminan akan menyokong setiap usaha persatuan sukarela dan budaya yang ada khususnya bagi membentuk masyarakat yang cintakan negara.

"Untuk menjamin perpaduan ini terus dinikmati, persatuan, kelab dan pertubuhan budaya ini perlu memainkan peranan untuk membentuk persefahaman semua kaum supaya tidak berlaku perpecahan atau perselisihan faham yang boleh menggugat keamanan negara," katanya.


SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 8 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: