PENGUNJUNG SETIA

05 Disember 2008

RAMAL KAEDAH ABJAD JAWI

Pak Matlob perkenal kehebatan tulisan kian dilupa, dipinggir masyarakat

Tajuk buku: Kalendar Satu Abad (1951-2050) Masihi-Hijrah-Cina-Jawa

Penulis: Mokhtar Talib (Pak Matlob)

Penerbit: Penerbitan Matlob

Cetakan Pertama: 2008

SUATU ketika tulisan jawi sangat terkenal, malah pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri Melayu Tidak Bersekutu sewaktu penguasaan British, tetapi kini keadaan adalah sebaliknya, malah pengaruhnya dilihat semakin pudar.

Cuma masih tinggal beberapa negeri yang berusaha mempertahankannya, misalnya melalui penggunaan papan tanda serta urusan membabitkan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Atas kesedaran memperjuangkan tulisan jawi agar tidak hilang ditelan zaman, seorang penceramah kursus Jawi, Mohd Mokhtar Talib menghasilkan sebuah buku bertajuk Kalendar Satu Abad (1951-2050) Masihi-Hijrah-Cina-Jawa.

Beliau yang berpengalaman luas dalam disiplin tulisan jawi mengenengahkan beberapa ilmu dan petua melalui karyanya yang ke-400 itu.

"Saya menghasilkan buku ini untuk tatapan dan bekalan generasi baru agar ilmu orang tua tidak hilang, bahkan dapat diwarisi secara turun-temurun," katanya yang terkenal dengan nama pena Pak Matlob.

Kalendar Satu Abad bukan kalendar biasa kerana ia dapat digunakan untuk menjejaki tarikh peristiwa yang berpuluh tahun lalu dan melakukan ramalan pada waktu akan datang sehingga 2050.

Walaupun buku itu kelihatan ringkas, banyak kegunaannya termasuk dapat melakukan ramalan terhadap jodoh melalui kaedah abjad Jawi yang tidak diperoleh melalui kursus di mana-mana sekalipun.

Turut dimuatkan panduan kalendar tahun Jawa dan tahun Cina sebagai pengetahuan am yang dikaitkan bersama beberapa tokoh dunia supaya pembaca dapat memahami lebih jelas maksud yang disampaikan buku terbabit.

"Buku ini dihasilkan dengan tujuan utamanya untuk mengembangkan tulisan jawi secara praktik selepas mendapat maklum balas daripada generasi muda ketika mengendalikan kursus jawi.

"Selepas dapat ilham daripada ceramah tulisan jawi, saya cuba menghasilkan buku ini dalam tempoh dua tahun," katanya.

Pak Matlob pernah menerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Budaya Johor serta menjadi pengelola ruangan jawi di Harian Metro serta Berita Harian.

Beliau menulis sejak 1953 dengan kebanyakannya novel remaja dan buku berkaitan tulisan jawi yang diperjuangkan sejak 1983.

Sehinggalah pada usianya kini 71 tahun, dibantu seorang anaknya Fikri, 41, beliau masih tekun dengan usahanya memartabatkan warisan bangsa itu dalam pelbagai cara.

Menurutnya, buku terbabit yang turut mengandungi rumus dengan huruf jawi, rumus jodoh, rumus menang kalah dan rumus bintang sangat berguna bagi meluaskan pengetahuan generasi masa kini.

"Secara manusiawi setiap orang berkeinginan untuk mengetahui hal diri sendiri atau individu pilihan hati.

"Begitu juga secara psikologi manusia mahu tahu masa depannya walaupun pada hakikatnya rahsia itu tidak pernah dapat dicapai oleh manusia.

"Oleh itu, dengan segala ilmu, pengalaman dan angan-angan, manusia merumuskan pelbagai kesimpulan sendiri terhadap hal yang sebenarnya Allah saja yang Maha Mengetahui hakikatnya," katanya.

Rumus ramal, katanya, adalah permainan akal manusia yang keupayaannya amat terbatas dan ia tidak salah selama manusia sedar yang kesimpulan rumus itu bukanlah sesuatu yang hakiki.

"Mungkin ia boleh menjadi ubat mujarab bagi manusia yang kehilangan diri sendiri dalam mencari dirinya di alam nyata ini," katanya sambil menegaskan abjad jawi bukannya sembarangan, malah ada penjaga atau khadam.

Info: Untuk mendapatkan buku ini dengan harga RM22.50 (Termasuk kos penghantaran), hantarkan pesanan anda ke alamat: Penerbitan Matlob, No. 2, Jalan Indah Jaya 1, Taman Indah Jaya, 43100 Hulu Langat, Selangor (UP: En Fikri) atau hubungi 012-278 1204.

SUMBER: HARIAN METRO, 5 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: