PENGUNJUNG SETIA

19 Disember 2008

TEMBOK TAK IKUT SPESIFIKASI PUNCA RUNTUH

MURAD (kiri) dan Hamidi (kanan) meninjau keadaan tembok yang hampir runtuh di tebing perparitan kawasan perumahan Rumah Awam Serom 4, Ledang.

TANGKAK: Pembinaan tembok di kiri kanan tebing perparitan di Jalan Cengal 3, kawasan perumahan Rumah Awam Serom 4, Ledang, di sini, yang tidak memenuhi spesifikasi, didakwa punca tembok itu runtuh sekali gus membahayakan keselamatan pengguna.

Lebih berbahaya apabila satu daripada konkrit tembok yang runtuh itu berdekatan dengan surau dalam kawasan perumahan berkenaan yang bukan saja membahayakan keselamatan pengguna, tetapi turut membimbangkan jemaah yang menunaikan ibadat di surau itu.

Seorang penduduk, Murad Jaafar, 54, berkata tembok itu dibina di kiri kanan tebing perparitan yang dilengkapkan dengan pembetung berikutan projek menaikkan taraf jalan dalam kawasan perumahan berkenaan, enam bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, satu daripada tembok itu runtuh ke dalam saliran, manakala satu lagi retak dan menunggu masa untuk runtuh.

Beliau berkata, konkrit yang runtuh itu memenuhi permukaan perparitan menyebabkan saliran itu tersumbat sehingga menyekat laluan air kumbahan dan air hujan sekali gus boleh menyebabkan banjir kilat jika hujan lebat.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau keadaan itu bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini, termasuk kemalangan membabitkan pengguna terutama penunggang motosikal dan basikal,” katanya.

Murad berkata, kontraktor yang melaksanakan projek itu juga tidak seharusnya lepas tangan terhadap kerosakan tembok berkenaan.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Serom 6, bahagian Ledang, Hamidi Yassin berkata, kelewatan membina semula projek itu boleh mengundang kemalangan bukan saja pada penghuni kawasan perumahan itu tetapi pengunjung dari luar kawasan.

Beliau berkata, lebih membimbangkan lagi jemaah surau dalam kawasan perumahan itu dan mereka yang datang menyertai kegiatan keagamaan terutama pada waktu malam.

SUMBER: BERITA HARIAN, 19 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: