PENGUNJUNG SETIA

23 Disember 2008

KEENAKAN DURIAN BEKU




JOHOR BAHRU 22 Dis. - Bagi penggemar buah durian pasti akan ternanti-nanti tibanya musim buah-buahan kerana pada waktu itu mereka boleh menikmati kelazatan raja buah tersebut.

Malah, jika berada di bumi Johor, durian Segamat adalah antara durian yang menjadi rebutan bukan sekadar bagi warga Johor tetapi seluruh negara.

Sebut sahaja tentang durian, orang ramai sudah terbayang dalam fikiran tentang kelazatan isinya yang kekuningan dan rasanya yang lemak bersulam dengan kemanisan.

Namun, kegembiraan itu bakal lenyap apabila musim buah-buahan akan tiba penghujungnya dan orang ramai perlu menunggu satu masa lain untuk menikmati buah berkenaan.

Bertitik tolak daripada faktor berkenaan dan lambakan buah durian yang terdapat di pasaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini mengorak langkah untuk menjadikan raja buah itu sebagai produk sejuk beku.

Teknologi sejuk beku di negara ini bukan sekadar diaplikasikan untuk sektor makanan sejuk beku seperti roti canai, kuih pau dan roti prata.

Teknologi baru itu kini 'diterokai' oleh pelbagai pihak untuk mengetahui pelbagai kebaikan hasil daripada penggunaan teknologi tersebut.

Dan hasilnya, jangan disangka bahawa buah durian boleh didapati di luar negara seperti Australia, Singapura dan China.

Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Selatan, Ahmad Ishak ketika ditemui berkata, terdapat beberapa proses yang perlu dilakukan bagi menyediakan durian sejuk beku.

Katanya, proses pertama ialah sewaktu penerimaan serta pemilihan sampel dan durian yang sering digunakan bagi tujuan sejuk beku ialah D24.

Setiap biji durian yang melalui proses ini perlu diteliti bagi memastikan tidak rosak dan perlu menepati piawaian yang ditetapkan.

"Antara kriterianya ialah buah tersebut sudah masak dan mempunyai kualiti yang sesuai untuk pemprosesan. Durian itu juga mestilah yang baru gugur dan jangka masa terbaik ialah tidak melebihi enam jam.

"Diangkut menggunakan lori sejuk 10 hingga 12 darjah celsius atau pada waktu cuaca agak sejuk seperti malam, petang atau awal pagi," katanya yang ditemui di Kompleks Sejuk Beku, Tangkak Johor, baru-baru ini.

Tambah Ahmad, setiap sebiji buah durian mampu menghasilkan 10 peratus isi.

Katanya, buah durian itu perlu dibersihkan dengan menggunakan berus dan jet air sebelum ia dirawat dengan mencelupkan ke dalam air berklorin dan dikeringkan supaya pembiakan mikrob seperti yis, bakteria dan kulat dapat dikawal.

Semasa melalui peringkat pemprosesan, buah berkenaan perlu dikeraskan (blastfreeze) pada suhu -38 darjah celsius sehingga isi dan biji durian mencapai suhu -30 darjah celsius.

Tempoh untuk mendapatkan suhu tersebut, menurutnya adalah bergantung kepada kekuatan suhu iaitu sekitar 45 minit sehingga dua jam.

Selepas itu buah berkenaan akan di masukkan ke dalam penyejuk bersuhu -18 darjah celsius.

Ahmad berkata, durian yang telah melalui peringkat pemprosesan akan dibelah dan diambil isinya sebelum ditanggalkan ulas dan empulurnya dengan menggunakan pisau yang sesuai dan tidak tajam.

Seterusnya ialah proses 'vacum' buah tersebut sebelum dipindahkan ke dalam penyejuk dan disimpan pada suhu -18 darjah celsius.

Menurut Ahmad, sehari sebanyak 3,000 hingga 6,000 buah durian dapat diproses.

Bilik sejuk beku tersebut mampu memuatkan 200 tan metrik durian segar pada satu-satu masa dan 100 tan metrik isi durian.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: