Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my
SEBAHAGIAN penumpang bas ekspres yang terselamat dalam nahas di Kilometer 146.6, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Tangkak, semalam.
Kebanyakan mangsa tidur nyenyak sebelum kejadian
MUAR: Semua penumpang bas ekspres malang yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 146.6, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Tangkak di sini, awal pagi semalam, sedang nyenyak tidur ketika kejadian jam 2 pagi.
Beberapa penumpang yang terselamat berkata, mereka hanya menyedari kejadian itu apabila berasa bas berkenaan terhuyung-hayang dan bergegar dengan kuat sebelum dentuman kuat kedengaran.
Seorang penumpang, Liow Wan Jun, 43, berkata terjaga apabila menyedari bas itu bergoyang dan belum sempat mengejutkan anak perempuannya yang sedang nyenyak tidur di sebelahnya, bas sudah terbalik.
"Saya hanya sempat menjerit sebelum bunyi kuat kedengaran dan badan bas seolah menghentam sesuatu.
"Saya tergamam seketika, sebelum terfikir mungkin bas kami bertembung dengan kenderaan lain dan apabila saya menoleh ke tepi sebelah pemandu, saya dapati bumbung bas sudah tercabut," katanya.
Liow yang menetap di Johor Bahru mengambil kesempatan cuti persekolahan membawa dua anaknya, seorang perempuan berumur 12 tahun dan seorang lelaki berusia 16 tahun untuk mengunjungi ibunya di Pantai Remis, Perak.
"Anak perempuan saya yang duduk di tepi tingkap sebelah saya tersepit di tempat duduk dan hanya dapat dikeluarkan oleh pasukan penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Muar, manakala anak lelaki saya yang duduk berseorangan di sebelah lagi, cedera di kepala, tetapi keadaannya tidak teruk," katanya yang turut mengalami kecederaan ringan di kaki.
Beberapa penumpang yang terselamat turut mendakwa bas itu dipandu laju dan hilang kawalan sehingga menyebabkannya terbabas dan merempuh sebatang pokok sebelum terbalik.
Seorang lagi mangsa yang terselamat, Goh Seal Keat, 31, dari Lumut, berkata beliau tertidur hampir sepanjang perjalanan itu sehinggalah kemalangan berlaku.
Beliau yang akan balik ke tempat kerjanya di Singapura, mendakwa seolah khayal selepas bas itu terbalik.
"Saya tak tahu nak buat apa-apa, hanya memandang ke depan sebaik saja terasa bas berhenti. Saya hanya tersedar selepas mendengar penumpang lain menjerit," katanya.
Sementara itu, Oh Chun Luan, 9, kelihatan tergamam selepas menyedari abang saudaranya yang berusia 18 tahun tiada di tempat kejadian, selepas keadaan sudah reda.
Bagaimanapun, kebimbangan kanak-kanak itu berakhir apabila datuknya dari Jementah yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada saudara maranya memberitahu abang saudaranya dimasukkan ke Hospital Muar kerana mengalami kecederaan parah.
SUMBER: BERITA HARIAN, 8 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan