PENGUNJUNG SETIA

16 Disember 2008

INDUSTRI SAWIT SABAH TANGGUNG CUKAI TINGGI

Timbalan Menteri Perusahaan,Perladangan dan Komoditi, Senator A Kohilan Pillai sedang bersalaman dengan Pengarah Mohd Janis Sdn Bhd, Mohd Janis Abu Bakar selepas majlis penyampaian Anugerah Industri Sawit 2007 di Magellan Sutera, semalam. (Foto: Adisabariman-iNFOLEDANG)

Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my

KOTA KINABALU: Industri minyak sawit di Sabah akan terus menanggung bebanan cukai yang tinggi kecuali jika kerajaan negeri atau Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak membantu mengurangkan cukai berkenaan.

Syarikat perladangan kelapa sawit di negeri ini perlu membayar 7.5 peratus cukai jualan kepada kerajaan negeri dan potongan harga jualan sebanyak RM40 bagi setiap satu tan kelapa sawit.

Selain itu, syarikat perladangan juga harus membayar kutipan ses RM15 satu tan minyak sawit mentah (CPO) kepada MPOB.

Ia dianggap dianggap tidak relevan kerana harga minyak sawit mentah (CPO) sekarang rendah dan membebankan syarikat berkenaan. Bagaimanapun, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid, menjelaskan kebanyakan cukai yang dikenakan itu adalah di luar bidang kuasa MPOB.

Bercakap pada sidang media selepas perasmian Seminar Teknologi Penapisan Kilang Kelapa Sawit di Hotel Magellan Sutera, di sini semalam, Mohd Basri berkata, kutipan ses RM15 bagi setiap satu tan CPO yang dikenakan MPOB perlu kerana ia digunakan untuk memajukan bidang Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) MPOB.

"Potongan harga jualan RM40 bagi setiap satu tan kelapa sawit di Sabah adalah perjanjian perniagaan yang dibuat sebelum ini apabila minyak sawit dari Sabah perlu dihantar dengan menggunakan kapal ke Semenanjung untuk ditapis.

"Bagaimanapun, perkara ini sudah dibincangkan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan beliau bersetuju agar levi perlu dihapuskan berikutan kilang penapisan minyak sawit sudah ada di negeri ini," katanya.

Seminar itu dirasmikan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Senator A Kohilan Pillai. Turut hadir, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Ewon Ebin.

Difahamkan sebelum ini syarikat perladangan sudah membuat rayuan supaya cukai jualan dihapuskan kerana ia mengurangkan pendapatan mereka.

Dr Basri juga berkata, beberapa projek dilaksanakan MPOB di Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti pembinaan asrama di stesen MPOB di Lahad Datu.

Projek berkenaan dijangka siap pertengahan tahun depan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 16 DISEMBER 2008

____________________________________________________

Cukai sawit untuk pembangunan industri

KOTA KINABALU 21 Dis. - Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan negeri tidak berlaku adil dan mengaut untung berlebihan dengan mengenakan cukai 7.5 peratus terhadap hasil pendapatan kelapa sawit di negeri ini.

Menterinya, Datuk Ewon Ebin berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana cukai yang diambil itu dilaburkan semula untuk pembangunan jangka panjang industri kelapa sawit di Sabah.

"Pendapatan daripada cukai ini digunakan semula untuk membangunkan sektor kelapa sawit di Sabah contohnya Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC) di Lahad Datu dan Sandakan.

"Dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri tidak berbuat apa- apa dengan mengenakan cukai tersebut adalah tidak berasas. Cukai itu tidak dikenakan begitu sahaja sebaliknya dilaburkan semula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Pengilangan dan Penapisan Minyak Kelapa Sawit dan Penjagaan Alam Sekitar di Magellan Sutera, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Senator A. Kohilan Pillay dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Mohd. Basri Wahid.

Ewon mengulas tuduhan pihak pembangkang dan pengusaha kecil kelapa sawit di Sabah yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Sabah kerana mengenakan cukai 7.5 peratus.

Beliau berkata, selain POIC, hasil daripada cukai tersebut turut dilaburkan untuk membina dan menyedia kemudahan lain yang berkaitan dengan industri berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Basri menjelaskan, sebab-sebab utama MPOB masih mengenakan potongan RM15 bagi setiap tan metrik hasil sawit ialah untuk tujuan pembangunan industri itu.

Katanya, daripada jumlah itu, RM9 digunakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), RM4 bagi tujuan penstabilan harga sawit semasa dan RM2 pula untuk kos mempromosi minyak sawit.

"Bagi tujuan R&D sebanyak RM200 juta dibelanjakan, manakala RM200 juta lagi bagi membiayai penanaman semula pokok sawit yang baru," katanya.

Mohd. Basri berkata, jika potongan tersebut tidak dikenakan, industri sawit di Sabah tidak mempunyai sumber kewangan untuk memajukan sektor itu dalam skala yang besar.

Beliau turut menolak dakwaan kerajaan Pusat masih mengenakan bayaran kos pengangkutan sebanyak RM40 setan metrik terhadap pengusaha-pengusaha kecil di negeri ini.

Katanya, kerajaan tidak lagi mengenakan kos itu kerana Sabah sudah pun memiliki kilang penapisan sendiri berbeza sebelum ini, hasil sawit dihantar ke Semenanjung untuk tujuan itu.

"Potongan RM40 ini tidak lagi dikenakan oleh kerajaan Pusat tetapi yang masih mengenakan bayaran tersebut ialah pihak pembeli atau pengusaha sawit di sini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, perkara tersebut perlu dibincangkan mengapa masih dikenakan bayaran berkenaan sedangkan kilang-kilang di Sabah sudah pun mempunyai kemudahan penapisan.

Katanya, beliau sendiri telah berjumpa dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman membincangkan perkara itu kerana melihat bayaran tersebut tidak lagi relevan pada masa kini.

"MPOB tidak mempunyai kuasa mengarahkan pengusaha atau pengilang supaya tidak lagi mengenakan bayaran tersebut kerana perkara itu tidak termaktub dalam syarat-syarat pengeluaran lesen," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 22 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: