Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my
MUAR: Membawa bahan berat lebih-lebih lagi besi keluli di dalam lori yang terdedah, menakutkan pengguna jalan raya terutama pemandu kenderaan kerana ia boleh mengundang kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan maut.
Lebih berbahaya lagi apabila bahan yang dibawa melebihi muatan itu tidak dimuatkan dalam kenderaan yang sesuai.
Sebagai contoh, sebuah lori yang membawa besi keluli dipercayai saluran paip bawah tanah, hanya dibawa dengan lori biasa dan tidak bertutup, ketika melalui Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke plaza tol Tangkak, di sini, kelmarin, sehingga membimbangkan pengguna jalan raya lain.
Peniaga, Sulaiman Baba, 45, berkata dia terkejut apabila mendapati lori yang membawa bahan berat itu muncul di sebelah keretanya ketika memandu dalam perjalanan pulang ke bandar ini, kira-kira jam 4 petang.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila barangan itu hanya dibawa dalam lori biasa dan bukannya trailer yang bertutup.
"Walaupun besi saliran itu diikat dengan dawai, ada kemungkinan dawai ini boleh terputus pada bila-bila masa dan menyebabkan kemalangan.
“Pihak terbabit seharusnya memikirkan kepentingan pihak lain, terutama keselamatan pengguna jalan raya apabila membawa muatan seperti ini," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 24 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan