PENGUNJUNG SETIA

06 Disember 2008

IBU RAYU FAHREENA PULANG SEGERA


FATIMAH Mukhtar menunjukkan gambar anaknya, Fahreena Farshah di Muar, semalam.

MUAR 5 Dis. - Seorang ibu hari ini merayu anak perempuan tunggalnya yang menghilangkan diri dari rumah sejak April lalu supaya kembali ke pangkuan keluarga dengan segera kerana bimbang dengan keselamatan anak gadisnya itu.

Fatimah Mukhtar, 43, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Tangkak berkata, anak perempuannya, Fahreena Farshah Kassim, 20, menghilangkan diri dari rumah mereka di Jalan Khalidi di sini sejak 12 April lalu.

Menurut ibu tunggal itu, anak perempuannya menghilangkan diri selepas diminta menghantar kakak iparnya, Sharina Abdullah, 52, ke tempat kerjanya di Jalan Daud di sini pada pukul 4.30 petang 12 April lalu.

Apa yang membimbangkan, Fahreena dipercayai keluar mengikut seorang wanita yang berkelakuan menyamai lelaki atau pengkid.

"Saya bimbang Fahreena akan terpengaruh dengan wanita itu kerana sejak dia mengenalinya, anak saya sudah tiga kali menghilangkan diri dari rumah.

"Malah, semenjak dia mengenali wanita itu, sikapnya semakin berubah menjadi seorang degil," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini dengan ditemani sepupu Fahreena, Alvin Mohd. Hassan, 25.

Kehilangan

Menurut Fatimah, dia telah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada hari kejadian dan berharap supaya anaknya segera pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, Fahreena pernah dilihat bersama wanita pengkid tersebut di sekitar Parit Bakar dan Parit Jawa seawal kehilangannya iaitu antara bulan Mei atau Jun lalu namun sekarang dia gagal dikesan.

Namun, katanya, anaknya itu pernah dilihat berada di Melaka tetapi selepas itu gagal dikesan.

Sementara itu, Alvin berkata, dia dan Fatimah sudah buntu untuk mencari sepupunya itu termasuk telah membuat aduan kepada pelbagai pihak namun sehingga kini masih belum berhasil.

"Apa yang saya harapkan supaya Fahreena pulang ke pangkuan keluarganya. Kami berharap masalah-masalah lain tidak timbul termasuk mana-mana pihak yang cuba mengganggu ibunya dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan," katanya.

Orang ramai yang mengenali dan mengetahui di mana Fahreena berada diminta menghubungi Alvin di 012-2636862 atau Fatimah di 017-7436742.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 6 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: