MUAR 11 Dis. - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengarahkan agar dua buah pam air dibina di Sungai Kesang, dekat sini bagi memastikan air banjir yang melanda empat kampung di sekitar Tangkak sejak tiga hari lalu dapat disalurkan segera ke laut.
Menurutnya, pembinaan dua pam tersebut akan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah mulai malam tadi dan berharap limpahan air dari beberapa batang sungai yang menyebabkan banjir di beberapa buah kampung itu dapat disalurkan ke laut dengan lebih cepat.
Beliau berkata, limpahan air antaranya dari Sungai Payamas, Sungai Padang Lerek dan Sungai Tangkak itu disebabkan purata taburan hujan yang agak luar biasa di Gunung Ledang sehingga mengakibatkan berlaku banjir di kampung-kampung berdekatan.
"Apa yang berlaku pada Isnin lalu adalah hujan lebat dalam kuantiti yang banyak iaitu 160 milimeter (mm) di kawasan Gunung Ledang dan jumlah taburan hujan itu agak tinggi berbanding 20 mm pada hari biasa sebelum ini.
"Air hujan tersebut mengalir ke kawasan rendah melalui sungai-sungai di sekitarnya termasuk Payamas, Padang Lerek dan Tangkak sebelum menghala ke Sungai Kesang untuk terus ke laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat lokasi banjir di Kampung Paya Kepong dan Kampung Seri Maamor, Tangkak dekat sini malam tadi.
Turut hadir Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir.
Selain Kampung Paya Kepong dan Kampung Seri Maamor, banjir turut melanda Kampung Seberang Gajah, Kampung Tanjung Labuh dan Kampung Sialang Dalam sejak Isnin lalu.
Menurut Abdul Ghani, pihaknya juga bimbang limpahan air sungai itu yang menyebabkan banjir akan melanda kawasan lain di sepanjang sungai seperti Kampung Teluk Rimba dalam tempoh beberapa hari lagi.
"Walaupun cuaca dilihat semakin baik selepas banjir Isnin lalu, kita bimbang arusnya mengalir perlahan ke laut.
Untuk itu, kita mengambil langkah menggunakan pam supaya air lebih cepat keluar dari darat ke laut, lebih-lebih lagi dijangka air pasang besar akan berlaku mulai 12 hingga 15 Disember ini.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 12 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan