|
|
JOHOR BAHRU 22 Dis. - Kesemua buah durian yang segar dan digunakan untuk tujuan sejuk beku oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diperoleh dari Muar, antaranya di Pagoh, Tanjung Selabu dan Bukit Kepong.
Pengarah Kanan FAMA Wilayah Selatan, Ahmad Ishak berkata, para petani di kawasan tersebut banyak menanam buah durian ekoran keadaan tanahnya yang sesuai dan subur.
"Tanah di kawasan tersebut adalah tanah yang tidak terlalu berpasir dan ia amat sesuai untuk tanaman durian," katanya di sini hari ini.
Pihak FAMA bukan sahaja membuat pemilihan buah durian berkualiti, malah petani yang turut menjual buah itu turut diberi penerangan bagi tujuan yang sama.
"Kami selalu melaung-laungkan slogan supaya golongan petani menghantar hasil kebun mereka yang elok-elok sahaja. Jangan hantar barang yang rosak kepada kami.
"Penerangan ini penting bagi membolehkan para petani tahu spesifikasi buah yang baik untuk tujuan sejuk beku tersebut," katanya.
Dalam pada itu, FAMA turut memfokuskan untuk melakukan nilai tambah buah-buahan bermusim dan tempatan dengan menggunakan kaedah yang sama.
Kata beliau, pihaknya dalam perancangan untuk menjadikan buah cempedak beku bagi tujuan eksport ke beberapa negara tertentu.
Ahmad menjelaskan bahawa pemilihan cempedak adalah sama seperti pemilihan buah durian iaitu kerana aromanya.
"Aroma buah durian dan cempedak adalah kuat. Manakala kadar bagi cempedak ialah satu tan buah cempedak boleh menghasilkan sehingga 240 kilogram isi cempedak," katanya.
Beliau berkata, bidang sejuk beku ini memberikan peluang yang luas kepada banyak sektor makanan terutama sektor pastri dan kek.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan