PENGUNJUNG SETIA

16 Disember 2008

IBU SELAMAT TIGA ANAK

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

KAMARUDDIN menenangkan Siti Rohaya yang tidak dapat menahan kesedihan selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran (gambar bawah) di Tanjung Agas, semalam.

Heret keluarga keluar selepas menyedari rumah terbakar

MUAR: Tindakan pantas seorang ibu menarik tiga anak yang nyenyak tidur sebaik menyedari rumahnya terbakar berjaya menyelamatkan empat sekeluarga itu daripada maut dalam kebakaran yang memusnahkan tiga deretan rumah di Tanjung Agas di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, Siti Rohaya Shafie, 38, berkata suaminya, Kamaruddin Kadir, 38, keluar bekerja dan dia tinggal bersama tiga anaknya, Fatin Nur Fazira, 9; Amirul Fitri, 8; dan Muhammad Fakhrul Muhaini, 5.

Katanya, kejadian berlaku pantas menyebabkan beliau hanya sempat berlari keluar rumah dengan mendukung serta mengheret tiga anaknya,

"Ada bunyi seperti hujan lebat menyebabkan saya keluar memeriksa dapur dan tandas tetapi tidak menjumpai punca bunyi itu.

"Saya tidak sedap hati lalu memeriksa ruang depan rumah dan ketika membuka pintu bilik tidur utama, baru ternampak api marak menyebabkan saya berlari ke bilik sebelah menyelamatkan tiga anak yang sedang tidur," katanya.

Kebakaran itu turut memusnahkan rumah Mohd Daud Abu Bakar, 75, manakala satu lagi keluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Semerah, Batu Pahat.

Mohd Daud berkata, beliau bersama isteri, Salmah Embam, 65, dan anak mereka, Shamsiah, 25, berada dalam rumah apabila mendengar jeritan memaklumkan rumah mereka terbakar.
Katanya, apabila keluar, beliau mendapati api marak memusnahkan deretan rumah mereka menyebabkannya tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Semua mangsa kebakaran berkenaan ditempatkan sementara di Balai Raya Parit Haji Othman Tanjung Agas.



SUMBER: BERITA HARIAN, 16 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: