JOHOR BAHRU Orang ramai yang tinggal di pesisiran pantai dinasihatkan berwaspada ekoran fenomena air pasang besar yang diramal berlaku selama empat hari mulai semalam.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, air pasang itu dijangka naik satu meter lebih tinggi daripada biasa.
"Ini merupakan fenomena agak luar biasa, walaupun pada hari-hari tersebut, Jabatan Kaji Cuaca meramalkan tidak akan berlaku hujan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menggulung Bajet 2009 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini kelmarin.
Menurutnya, bagi menghadapi fenomena tersebut, beberapa pam air telah dipasang di sungai-sungai dan saliran tertentu bagi mengeluarkan air dari darat ke laut dengan kadar segera.
Abdul Ghani berkata, jika hujan berlaku permukaan bumi yang sudah dipenuhi air itu tidak dapat meresapi air yang semakin bertambah.
"Apatah lagi kalau kawasan itu memerlukan satu jarak yang agak jauh untuk air mengalir ke laut dari saliran di daratan.
"Contohnya di Sungai Kesang, dua pam telah dipasang untuk mempercepatkan aliran air di Sungai Tangkak untuk turun ke situ dan seterusnya mengalir ke Selat Melaka," katanya.
Beliau berkata, selain pemasangan pam, persiapan logistik turut dilakukan oleh pelbagai pihak yang berkaitan seperti polis, bomba dan penyelamat serta Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), selain penyediaan pusat pemindahan sementara dan sumber bekalan makanan.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan