PENGUNJUNG SETIA

14 Disember 2008

JOHOR PERLU RM30j BINA 2 PINTU AIR

MUAR 13 Dis. - Kerajaan Johor memerlukan RM30 juta peruntukan tambahan bagi membina dua pintu air di muara Sungai Kesang bagi mengawal arus sungai dari kampung-kampung di sekitar Tangkak agar mengalir ke laut dan seterusnya mampu mengelak berlaku banjir di kawasan itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ketika ini terdapat sebuah pintu air di muara sungai itu dan pihaknya merasakan perlu menambah lagi pintu air untuk melancarkan aliran sungai agar tidak bertakung dan menyebabkan banjir di kampung-kampung berdekatan.

Beliau berkata, tapak untuk membina dua pintu air itu telah dikenal pasti, namun kerajaan negeri berharap peruntukan segera berjumlah RM30 juta dapat digunakan untuk tujuan itu.

"Johor menerima sejumlah RM400 juta peruntukan ketika banjir besar melanda seluruh negeri pada 2006 dan daripada jumlah tersebut, separuh daripadanya iaitu kira-kira RM200 juta telah kita terima dan digunakan untuk pembiayaan bantuan mangsa banjir dan penambahbaikan sistem saliran di negeri ini.

"Untuk itu, saya mencadangkan supaya peruntukan RM30 juta itu dimasukkan dalam baki sumbangan yang belum diterima oleh kerajaan negeri bagi membina dua pintu air itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Balai Raya Kampung Sialang Dalam, Tangkak dekat sini semalam.

Banjir melanda beberapa buah kampung di sekitar Tangkak, antaranya Kampung Sialang Dalam, Kampung Tanjung Labuh, Kampung Seberang Gajah, Kampung Seri Maamor dan Kampung Paya Kepong sejak Isnin lalu.

Ketika ini, sebahagian besar daripada lebih 300 keluarga yang dipindahkan dari kesemua kampung itu telah dibenarkan pulang berikutan paras air yang semakin surut, kecuali enam buah keluarga di Kampung Tanjung Labuh yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Sialang.

Menteri Besar berkata, banjir yang berlaku disebabkan purata taburan hujan yang tinggi di kawasan Gunung Ledang dan mengalir melalui sungai-sungai di Tangkak dan kini mula melanda Kampung Teluk Rimba di Bukit Kangkar sehingga menyebabkan 40 buah keluarga terpaksa dipindahkan sejak semalam.

"Penduduk Teluk Rimba mungkin yang terakhir dilanda banjir ini kerana arus sungai semakin menghampiri muara sebelum tiba di Kesang, namun kita bimbang air pasang besar yang melanda seluruh negara mulai hari ini dan jika disusuli hujan lebat akan memburukkan lagi keadaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 DISEMBER 2008

Tiada ulasan: