mdroji@bharian.com.my
PASUKAN keselamatan memberi bantuan kecemasan kepada mangsa nahas bas di Kilometer 146.5, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Tangkak, semalam.
Pegawai operasi bomba akui satu pemandangan cukup ngeri dan memilukan
MUAR: Tujuh daripada 10 mangsa yang mati ditemui tersepit di bawah bas termasuk enam di dalam longkang dengan bumbung bas tercabut, manakala kesan darah dan pelbagai barangan penumpang bersepah di merata tempat.
Begitulah keadaan penumpang bas malang itu ketika saksi pertama tiba di lokasi kemalangan bas ekspres dari Pantai Remis-Ipoh-Singapura, berhampiran Tangkak di sini, awal pagi semalam.
Keadaan ketika itu kelam kabut apabila mangsa yang mengalami kecederaan parah menangis dan meraung menahan kesakitan, manakala beberapa penumpang yang terselamat mula mencari ahli keluarga atau saudara mereka.
Bas itu yang membawa 28 orang termasuk pemandu dan pembantunya, dikatakan hilang kawalan ketika menuruni kawasan berbukit lalu terbabas dan merempuh sebatang pokok sebelum terbalik.
Pegawai Operasi Balai Bomba Tangkak, Wan Azlan Wan Abdul Jalil, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.26 pagi dan menghantar dua jentera termasuk satu dari Balai Bomba Muar bersama 16 anggota yang tiba di tempat kejadian jam 2.55 pagi.
"Setiba di tempat kejadian, saya melihat satu pemandangan yang cukup mengerikan dan amat memilukan dengan keadaan bas ekspres itu bersepai dengan bumbungnya tercabut.
"Semua mangsa yang mati di tempat kejadian adalah mereka yang duduk di bahagian hadapan kerana tersepit di bawah bas, manakala beberapa penumpang cedera akibat tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya.
Tujuh mangsa disahkan mati di tempat kejadian, dua mati di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar manakala seorang lagi mati dalam perjalanan ke hospital itu.
Wan Azlan mengakui operasi menyelamat itu agak sukar sehingga memaksa pihaknya meminta bantuan kren untuk mengalihkan bas berkenaan bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawahnya.
"Kami menamatkan operasi itu kira-kira jam 6.45 pagi dan inilah antara kemalangan terburuk yang pernah disaksikan di sini," katanya.
Sementara itu, jurucakap HPSF berkata, seramai 16 mangsa yang cedera parah dikejarkan ke hospital berkenaan, manakala tiga lagi menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tangkak.
Beliau berkata, sebaik dimaklumkan kejadian itu pihaknya mengerahkan 16 doktor termasuk enam daripadanya doktor pakar supaya bersiap sedia di HPSF.
"Kami juga menyediakan katil di luar wad sebagai persediaan untuk menampung jumlah mangsa yang agak ramai," katanya.
"Seorang daripada penumpang yang menerima rawatan di HPSF sudah dibenarkan keluar manakala tiga yang menerima rawatan di Hospital Tangkak semuanya sudah dibenarkan pulang.
"Tiga mangsa yang menerima rawatan di Hospital Muar masih serius keadaan mereka tetapi stabil," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 8 DISEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan